Tuesday, October 30, 2012

Sistem Komunikasi

 
Kerajaan Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu berusaha keras untuk membangunkan Malaya dengan pelbagai cara. Malaya bertambah maju, di mana pendapatan bagi Negeri-negeri Selat bertambah lebih lima kali ganda dalam jangkamasa kurang dari empat puluh tahun manakala bagi Negeri-negeri Melayu pula, lebih sembilan kali ganda dalam jangkamasa yang sama. Sebahagian besar daripada pendapatan tersebut digunakan untuk membina sistem perhubungan yang mantap. Jalanraya dan landasan keretapi dibina di seluruh negara bagi menghubungkan kawasan perlombongan dan perladangan dengan persisiran pantai. Pada tahun 1937, jalanraya yang berukuran hampir 9,000 kilometer telah dibina di Negeri-negeri Melayu Bersekutu, 1,165 kilometer di Negeri-negeri Selat dan 2,500 kilometer di Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu. 
 
 
Pada tahun 1885, perkhidmatan keretapi yang pertama telah disediakan iaitu dari Taiping ke Port Weld. Pada tahun 1909, perkhidmatan keretapi telah berkembang dari Singapura ke Pulau Pinang. Di samping itu, perkhidmatan feri juga disediakan bagi menghubungkan Prai dan Pulau Pinang. Tambak Johor yang siap dibina pada tahun 1923 telah mengembangkan lagi perkhidmatan keretapi hingga ke Singapura, yang sudah pun mempunyai landasan dari Tank Road ke Bukit Timah yang dibina sejak tahun 1903. Pembangunan infrastruktur perhubungan di timur Malaya agak perlahan, namun pada tahun 1931, perkhidmatan keretapi akhirnya disediakan, menghubungkan Gemas dan Kota Bharu.

No comments:

Post a Comment